Saturday, January 8, 2011

UTAMA

Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia dan Ganti UMNO

UBAH SEKARANG, SELAMATKAN MALAYSIA

Ditulis oleh Ustaz Idris Ahmad
MONDAY, 10 JANUARY 2011 11:14

Tema yang cukup menarik didengar oleh rakyat Malaysia dan
tepat pada masanya ketika negara di landa dengan berbagai
krisis, lantaran dipegang oleh orang yang tidak amanah
dengan rakyat dan negara. Walaupun ia merupakan tawaran
yang menarik untuk rakyat, tetapi meresahkan pemimpin
yang berada di puncak kuasa. Sekarang pemimpin BN dilanda
dengan mimpi ngeri takut kehilangan kuasa, kerana ini
merupakan satu azab di dunia. Media BN diarahkan untuk
memburukkan apa yang tercatat dalam buku jingga.

Kenapa perlu ubah sekarang?

1.Pengurusan ekonomi tempang

Keadaan ekonomi negara berada ditakuk lama sejak krisis
kewangan Asia Timur 1997/1998 telah ditinggal jauh oleh
negara-negara Asia dan juga negara jiran, seperti
Singapura malahan negara Indonesia, Thailand, Filipina dan
Vietnam. Cuma kelebihan Malaysia kaya dengan slogan yang
menjadi candu supaya rakyat syok sendiri dan lupa hakikat
sebenar. Antaranya slogan Model Ekonomi Baru (MEB), Program
Transformasi Ekonomi (PTE). Walaupun kaya dengan slogan
ekonomi negara 12 tahun berturut-turut defisit. Wang
Petronas dihisap sampai hendak kering , sejak tahun
2007-2010 sebanyak RM325 bilion. Hutang negara makin
meningkat berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
dalam tahun 2009 sebanyak 53.3%, melonjak naik
berbanding kadar 35.1% dalam tahun 1998. Pertumbuhan
ekonomi 2006-2010 hanya 4.2% sedangkan sasaran adalah
6%. Contoh pengurusan ekonomi negeri BN seperti yang
dilapor oleh Ketua Audit Negara berhubung perbelanjaan
melampau dan amat meragukan dalam projek pengubahsuaian
Rumah Rehat Bentong sehingga disyaki berlaku
penyelewengan dana kerajaan. Dalam laporan Ketua Audit
Negara menyebutkan tentang pemasangan papan tanda
tandas di Rumah Rehat Bentong dituntut dengan jumlah
RM871 sedangkan audit menjelaskan pada harga pasaran
barang tersebut hanya berharga RM65.

Begitu juga dengan tuntutan set sofa yang pada nilaian
pasaran cuma berharga RM990 telah dituntut sebanyak
RM3,530. Lebih mengejutkan dalam laporan itu ialah
tuntutan set lampu yang pada harga pasarannya cuma
RM9,200 tetapi telah dituntut terlalu tinggi sehingga
berjumlah RM38,700. Ini hanya sekadar contoh, yang
menjadi bukti rakyat wajib tukar kepada kerajaan
Pakatan Rakyat.

2.Institusi Kehakiman Dipertikaikan

Satu ketika dahulu institusi kehakiman negara kita adalah
antara yang terbaik, kerana tidak ada campur tangan dipihak
eksekutif. Ia berlaku tragedi hitam apabila pemecatan
Tun Saleh Abbas 1988. Selepas daripada peristiwa pemecatan
Tun Saleh keadaan sudah berubah. Apa yang dilihat oleh
rakyat dalam kes Linggam dan perbicaraan
Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah buktinya. Sebuah negara
akan hancur jika institusi yang dianggap oleh rakyat
untuk mendapat pengadilan telah diragui. Ianya bukan
sahaja oleh rakyat yang cerdik malahan di kalangan pelabur
asing yang tidak mahu datang melabur di negara ini.

3.Tahap keselamatan negara membimbangkan.

Bagaimana kerajaan boleh mengambil APCO Yahudi Israel sebagai
penasihat komunikasi dengan bayaran RM77 juta setahun. Apa
jaminan maklumat keselamatan negara tidak terlepas kepada
mereka?. Kenyataan Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi telah pun
mendedahkan berlaku pembocoran dan penjualan rahsia penting
negara berkaitan keselamatan dan pertahanan negara. Setakat
hari ini isu itu selesai begitu sahaja. Kononnya
diselesaikan melalui saluran diplomatik.

Begitu juga dengan isu kehilangan enjin kapalterbang yang
besar boleh hilang. Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr
Anwar Ridhwan menyifatkan kehilangan enjin F-5E milik
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai tanda aras
keruntuhan moral pimpinan negara ini.Beliau melahirkan
kekesalannya kerana perkara yang tidak pernah
dibayangkan boleh berlaku sebelum ini seperti kehilangan
enjin pesawat yang saiznya besar tetapi mudah pula
untuk diseludup ke luar negara. Kalau sampai dua enjin
pesawat pejuang boleh hilang yang ahli silap mata
terkenal dunia seperti David Copperfield tidak boleh
hilangkannya tetapi yang menjaga keselamatan negara
boleh hilangkan, ini satu gambaran tahap keselamatan
negara.


4. Tahap Keselamatan Sosial Merosot

Tahap keselamatan sosial juga merosot sehingga kerajaan
terpaksa berbelanja wang sebanyak RM59 juta untuk
memasang CCTV di seluruh negara. Betapa banyaknya wang
rakyat terpaksa dibazirkan kerana keselamatan berada
ditahap yang parah. Statistik jumlah keseluruhan orang
hilang di negara ini dari tahun 2007 hingga 2010 iaitu
seramai 7,312 orang yang dilaporkan PDRM amat
membimbangkan rakyat. Daripada jumlah itu, seramai
3,653 orang yang telah ditemui manakala bakinya sejumlah
3,479 masih belum ditemui.

Meskipun daripada jumlah yang ditemui tersebut lebih
95 peratus daripadanya dijumpai masih hidup, namun jumlah
yang masih gagal ditemui menjadi titik persoalan yang besar.


5. Sempadan negara mudah terbolos.

Laporan Berita Harian pada 27 Ogos 2010 amat menggerunkaan
tahap keselamatan negara yang mudah dimasuki dengan suapan
rasuah. Dalam laporan eksklusifnya mendedahkan ada anggota
dan pegawai imigresen di Jeti Penumpang Pulau Ketam, di
Pelabuhan Klang menerima sogokan sehingga RM60,000 sebulan
menyebabkan pintu masuk negara mudah dibolosi pendatang tanpa
izin dari Indonesia.

Mengikut laporan itu, setiap penguat kuasa di percayai dibayar
RM2,000 sehari untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang
haram, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya
mempunyai cop palsu atau tiada sebarang dokumen perjalanan.
Apa jaminan pula dengan sempadan negara yang lain?


6.Rasuah menjadi barah negara

Rasuah yang sukar diubat daripada atas hingga peringkat bawah.
Jika perkara ini tidak dicegah ia akan mendatangkan musibah
yang besar. Semuanya berpunca daripada orang yang memimpin
negara, naik dengan kuasa rasuah. Laporan audit 2008 sebanyak
RM28 bilion hilang kerana ketirisan dalam pentadbiran. Indek
rasuah tahun 2010 hanya 4.4 walaupun sasaran 4.9/10 berbanding
dengan tahun 2009 2.9/10.


7. Gagal mewujudkan politik yang harmoni.

Walaupun cuba untuk berlindung disebalik slogan 1 Malaysia.
Beberapa insiden yang berlaku melambangkan kegagalan kerajaan
mewujudkan keharmonian kaum yang ada pada hari ini. Contohnya
apa yang berlaku kepada Datuk Nasir Safar Pegawai Khas
Perdana Menteri, Timbalan Pengarah Biro Tata Negara (BTN)
Wilayah Persekutuan, Hamim Husin, Ucapan Ketua Umno Bahagian
Titiwangsa, Datp' Johari Abdul Ghani dan ucapan dua orang
pengetua sekolah. Umno dan BNlah pihak yang tidak henti-henti
mengapi-apikan kebencian perkauman sama ada melalui agensi-
agensi kerajaan yang dikuasai oleh kerajaan Umno BN atau
media-media arus perdana yang dikuasai mereka.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat



UBAH SEKARANG, SELAMATKAN MALAYSIA,
PAS GANTI UMNO